SHAH ALAM – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei selamat dikebumikan kira-kira pukul 4.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini semalam.
Mat Shuhaimi, 50, meninggal dunia pada pukul 11.10 pagi semalam di Pusat Perubatan Subang Jaya dekat sini akibat kanser limfoma.
Terdahulu jenazah Allahyarham Mat Shuhaimi dimandikan dan disolatkan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Mat Shuhaimi yang merupakan Ketua Penerangan PKR Selangor meninggalkan dua orang balu, Jamilah Sahak, 44, dan Rohani Satar, 42, bersama enam orang anak.
Kira-kira 1,000 orang terdiri daripada anggota keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham Mat Shuhaimi hadir pada upacara pengebumian jenazahnya.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Sementara itu, Rohani yang merupakan isteri kedua Mat Shuhaimi ketika ditemui pemberita berkata, suaminya hanya mengetahui penyakit kanser yang dihidapi berada pada tahap empat kira-kira sebulan lalu.
Dia menceritakan, Allahyarham suaminya mengalami sakit yang teruk dalam tempoh sebulan sebelum dijangkiti kuman pada paru-paru seminggu lalu.
“Saya reda dengan pemergiannya dan berharap ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, pemergian Mat Shuhaimi merupakan satu kehilangan besar kepada rakyat kerana Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang memperjuangkan keadilan.
“Saya kenal Allahyarham secara peribadi, beliau banyak membantu saya semasa menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor. Beliau telah menjalankan tugas dengan penuh amanah,” katanya.
Menurut Mohamed Azmin, beliau sempat menziarahi Mat Shuhaimi di hospital sekembalinya beliau daripada mengerjakan umrah pada Ramadan lepas.
Mat Shuhaimi menjadi ADUN Sri Muda selama dua penggal sejak 2008 hingga 2018. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei lalu, beliau menang di kerusi sama yang bertukar nama kepada kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis apabila menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari, Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin (Parti Rakyat Malaysia) dengan majoriti 12,480 undi.











