Saranan BN hanya mahu timbul isu - Osman - Utusan Malaysia

Saranan BN hanya mahu timbul isu – Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Julai – Kerajaan negeri membayangkan tidak akan mengambil alih syarikat air SAJ Ranhill Sdn. Bhd. (SAJ Ranhill), sekali gus menyifatkan saranan Barisan Nasional (BN) itu hanya mahu menimbulkan isu.

Osman Sapian
OSMAN

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, ini kerana belum kedengaran SAJ Ranhill mahu menjual syarikat tersebut, tetapi BN negeri tiba-tiba meminta kerajaan negeri mengambil alih.

“Dengan formula apa itu kita nak ambil alih SAJ…kalau hari ini SAJ ada tawarkan sekian,  kita boleh fikirkan dan boleh sambut sebab mereka sendiri nak jual, tapi ini kita tidak dengar apa pun.

“Mereka suruh kita ambil balik SAJ…kita nak tengok kemampuan, keduanya sama ada SAJ nak jual ke tidak, kalau kita nak tapi SAJ tak nak jual, tak dapat juga walaupun kita ada kemampuan.

“Jadi, kita kena buat kajian, mesti ada perundingan baru dapat satu ketetapan. Cakap memang mudah, ambil balik SAJ, tapi formulanya macam mana,” katanya selepas melawat pejabat Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Osman turut mempersoalkan keperluan untuk mengambil alih SAJ Ranhill sedangkan sekarang ini bekalan air yang disalurkan mencukupi, malah Empangan Kahang juga akan dibuka selain kerajaan negeri akan membina Loji Rawatan Air (LRA) di situ.

“Empangan ada tapi tak ada loji rawatan…kenapa kerajaan negeri dulu tak rancang betul-betul, ini yang kadang-kadang kita nak cakap pun susah…mereka tergopoh-gapah buat empangan dan sekarang kita pula nak kena cari idea macam mana nak buat loji,” katanya sambil memberitahu LRA itu akan dibina menggunakan dana RM50 juta daripada Tabung Warisan Negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN