LONDON 2 Julai – Persediaan pra-musim Liverpool bermula dengan cukup sempurna selepas Mohamed Salah menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab itu.
Keputusan bintang antarabangsa Mesir itu yang sedang bercuti selepas beraksi dalam Piala Dunia, untuk menyambung kontraknya bersama Liverpool secara tidak langsung telah menghentikan segala spekulasi tentang masa depannya di Anfield.
Reds telah menawarkan perjanjian yang mencerminkan statusnya selaku salah seorang pemain terbaik di Eropah.
Salah, yang sebelum ini menandatangani perjanjian bernilai 100,000 pound (RM532,123) seminggu sewaktu berpindah ke Anfield dari Roma, 12 bulan lalu, bakal menjadi salah seorang pemain Liverpool yang menerima bayaran termahal dan selepas meledakkan 44 gol dalam semua pertanding, dia berhak menerima ganjaran berganda.
Pengurus, Jurgen Klopp telahpun menyusun perancangan untuk meningkatkan prestasi pasukan pada musim lepas, apabila kelab berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan empat terbaik.
Liverpool sememangnya memberi keutamaan bagi memberi ganjaran kepada Salah di atas prestasi cemerlang pada penampilan sulungnya, musim lalu. Jumlah 32 gol daripada 38 perlawanan dalam Liga Perdana yang dijaringkan Salah merupakan satu rekod baharu kelab dan dia merupakan watak penting membawa Reds ke final Liga Juara-Juara.
Real Madrid, yang menewaskan Liverpool 3-1 di Kiev, merupakan kelab yang sering dikaitkan dengan Salah untuk satu jangka masa yang panjang, tetapi Liverpool memiliki hubungan yang akrab dengan ejen Salah, Ramy Abbas Issa dan rundingannya bersama Pengarah Sukan Liverpool, Michael Edwards berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Perjanjian baharu itu, akan mengikat Salah di Anfield sehingga musim panas 2023 dan, apa yang paling penting ialah tiada klausa pelepasan di dalam kontrak berkenaan.
Polisi Liverpool itu akan meletakkan Liverpool pada posisi di mana pemain-pemain mereka tidak akan memiliki klausa pelepasan setiap kali rundingan dibuat bersama kelab yang berminat, dan atas sebab itu juga, Emre Can tidak menyambung kontrak bersama mereka.
Klopp percaya perjanjian baharu yang ditandatangani Salah merupakan simbol kepada masa depan yang cerah di Liverpool.
“Saya berpendapat berita ini akan dilihat seperti ini iaitu memberi ganjaran kepada pemain yang mempamerkan prestasi baik dan memberi sumbangan besar kepada pasukan serta kelab pada musim lepas.
“Ia turut memberi gambaran jelas terhadap keyakinan Salah kepada Liverpool dan begitu juga dengan kami terhadapnya. Kami mahu pemain yang memiliki bakat berkelas dunia melihat masa depan mereka di Anfield dan mampu memenuhi impian profesional serta cita-cita besar mereka.
“Kami bekerja keras untuk mencapai usaha tersebut. Apabila pemain seperti Salah sedia memberikan komitmen dan berkata, tempat ini ialah rumah saya sekarang, jadi, ia sudah memadai memberi gambaran tentang kedudukan kelab ketika ini,” kata Klopp. – AGENSI











