LONDON – Pelumba legenda Itali, Valentino Rossi (gambar) mendedahkan sikap cerewet dan kesungguhannya untuk mendapat jentera yang mencapai kelajuan maksimum telah menyebabkan ramai jurutera pasukan Yamaha mengelakkan diri daripadanya pada saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
![]() |
|
|
Bagaimanapun, sikap Rossi itu membolehkan Yamaha meraih kemenangan berganda apabila dia dan rakan sepasukannya, Maverick Vinales berjaya menaiki podium kedua dan ketiga pada Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring minggu lalu.
Kejayaan itu berikutan kepekaan Rossi dalam mengenal pasti masalah elektronik sebagai punca Yamaha ketinggalan di belakang pesaing utama seperti Honda dan Ducati pada awal tahun ini.
Sejak itu, pelumba berusia 39 tahun tersebut sentiasa mengerahkan pasukan jurutera Yamaha memperbaiki aspek tersebut banyak kali sehingga meraih catatan yang mereka inginkan.
“Saya telah memberi banyak tekanan kepada jurutera Yamaha. Mereka tidak dapat menahan sifat tegas dan cerewet saya lagi. Setiap kali mereka melihat saya, mereka akan melarikan diri.
“Setiap hari saya bersama mereka dan terus mendesak agar meningkatkan kelajuan. Hakikatnya, usaha tersebut masih lagi tidak banyak membantu kerana masih belum meraih gelaran juara.
“Bagaimanapun, kami berharap akan terus ada kemajuan kerana saingan masih panjang dan saya ingin mencapai misi bergelar juara sebelum akhir tahun ini,” katanya.
– Agensi











