SAINT PETERSBURG – Dua bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi berkemungkinan besar akan menamatkan karier profesional mereka tanpa merasai ‘nikmat’ menjulang trofi Piala Dunia.
Kekalahan 1-2 Portugal kepada Uruguay pada aksi kalah mati di Sochi awal pagi semalam menyaksikan Ronaldo mengiringi Messi yang gagal memimpin Argentina apabila tewas 3-4 kepada Perancis di Kazan kelmarin, keluar daripada saingan Piala Dunia 2018.
Berdasarkan usia Ronaldo, 33, dan Messi, 31, kedua-dua pemain itu yang sentiasa memonopoli anugerah pemain terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini dilihat akan bersara daripada pentas antarabangsa tanpa gelaran Piala Dunia.
Ronaldo akan berusia 37 tahun untuk edisi Piala Dunia seterusnya di Qatar pada 2022 dan bintang Real Madrid itu masih belum pasti sama ada dia mampu terus beraksi dalam pentas tertinggi.
“Kami mempunyai kumpulan pemain yang masih muda dan mempunyai cita-cita besar untuk memastikan impian menjuarai Piala Dunia tercapai.
“Cuma sekarang bukan masa yang sesuai untuk bercakap mengenai masa depan pemain-pemain dan barisan kejurulatihan,” kata Ronaldo.
Messi pula sebelum ini pernah mengumumkan persaraan daripada skuad antarabangsa Argentina selepas gagal menjuarai Copa America Centenario 2016 tetapi kembali mengubah pendirian untuk Piala Dunia 2018.
Kegagalan dalam kempen di Rusia menyaksikan bintang Barcelona itu dijangka kali ini bersara sepenuhnya daripada pentas antarabangsa.
Messi yang akan berusia 35 tahun untuk Piala Dunia 2022 di Qatar, tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas terdahulu tewas tiga kali berturut-turut di pentas final.
Ia bermula dengan kekecewaan tewas kepada Jerman pada final Piala Dunia 2014 di Brazil serta dua kekalahan kepada Chile dalam aksi final Copa America 2015 serta Copa America Centenario 2016. – Reuters











