KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun mahu pengasuh yang layak diberikan kursus, latihan dan tauliah oleh kerajaan, bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini melibatkan kanak-kanak di rumah atau pusat pengasuhan.
Ahli Parlimen Titiwangsa itu juga berharap satu garis panduan disediakan dan undang-undang berkaitan pusat pengasuhan diperketatkan.
Sambil melahirkan rasa pilu dan mengucapkan takziah kepada keluarga Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi berusia lima bulan yang ditemukan mati di rumah pengasuh di Taman Nahkoda, Batu Caves, Selangor, semalam, Rina berharap kejadian tersebut menjadi kes yang terakhir di negara ini.
“Kanak-kanak adalah pemimpin generasi masa depan. Semua golongan masyarakat mempunyai tanggungjawab memelihara hak, keselamatan, prihatin, menghormati kesejahteraan dan kebajikan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Malam tadi, Bernama melaporkan Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas pengasuhnya mendakwa tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di rumah suspek terbabit di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira pukul 6.30 petang semalam. – Bernama











