MELAKA – Sebuah restoran asam pedas popular di Taman Kota Laksamana di sini yang tular dalam laman sosial ekoran terdapat ulat dalam makanan yang disajikan di premis itu diarah tutup serta-merta selama 14 hari bermula kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, arahan itu dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah selepas melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan kelmarin.
“Saya mengarahkan pihak pejabat kesihatan untuk membuat pemeriksaan selepas video tersebut tular dan mendapati banyak aspek kebersihan yang tidak dipatuhi.
“Arahan pembersihan telah dikeluarkan atas beberapa kelemahan antaranya kawalan suhu peti sejuk, peti sejuk kotor, penyimpanan makanan yang padat, penemuan lipas dan terdapat sawang pada siling premis itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka di sini semalam.











