MELAKA – Sebuah restoran asam pedas popular di negeri ini yang tular dalam laman sosial kerana terdapat ulat dalam makanan yang disajikan diarah tutup serta-merta selama 14 hari bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong berkata, arahan itu dibuat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah selepas melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan semalam.
“Saya mengarahkan pihak pejabat kesihatan untuk pemeriksaan selepas video tersebut tular dan mendapati banyak aspek kebersihan yang tidak dipatuhi.
“Arahan pembersihan telah dikeluarkan atas beberapa kelemahan antaranya kawalan suhu petis sejuk, peti sejuk yang kotor, penyimpanan makanan yang padat, penemuan lipas serta sesawang pada siling premis,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ghazali Othman dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijah Mohd. Tan.
Menurut Chee Leong, selain arahan penutupan sementara, premis berkenaan turut dikompaun sebanyak RM1,250 bagi ketiga-tiga notis yang telah dikeluarkan atas kesalahan Peraturan 11(1)(c), Peraturan 33(1)(f) dan Peraturan 32(1)(b) Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan.
Katanya, kerajaan negeri melalui jabatan terlibat akan terus melaksanakan pemantauan ke atas premis-premis makanan di negeri ini bagi memastikan perkara sama tidak berulang. – K! ONLINE











