PUTRAJAYA – Tempoh tahanan reman seorang pengarah urusan dan peguamnya yang disiasat berhubung penyelewengan projek memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak disambung lima hari lagi bagi membantu siasatan.
Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyambung reman kedua-dua lelaki itu bermula esok sehingga 7 Julai ini mengikut Seksyen 18(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, pengarah urusan dan peguamnya itu tiba di pekarangan mahkamah majistret di sini pada pukul 9.30 pagi dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari.
Kosmo! pada 28 Jun lalu melaporkan kedua-dua individu terbabit direman selama enam hari bermula 27 Jun dan berakhir hari ini.
Kedua-duanya hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 26 Jun lalu pukul 2.45 petang dan 5.30 petang hari yang sama untuk memberi keterangan sebelum ditahan.
Setakat ini, seramai tiga individu telah ditahan SPRM bagi siasatan berhubung kes tersebut. K! ONLINE










