KUCHING 9 Julai – Rakyat Sarawak meletakkan harapan amat tinggi terhadap kerajaan Persekutuan untuk meneruskan pembangunan di negeri ini.
Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud berkata, segala janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hendaklah dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Negeri Sarawak masih memerlukan projek-projek infrastruktur dan kemudahan asas khususnya di luar bandar.
“Negeri ini amat luas dan penempatan penduduk pula bertaburan di kawasan luar bandar. Jaringan jalan raya perlu ditingkatkan dan liputan bekalan air dan elektrik perlu diperluaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-18 di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penyediaan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat perlu diperkasakan.
“Kawalan keselamatan juga hendaklah diperketatkan untuk memastikan rakyat di negeri ini hidup dalam keadaan aman dan damai.
“Projek-projek Kerajaan Persekutuan yang memberi impak besar kepada Sarawak hendaklah diteruskan khususnya projek-projek di luar bandar. Projek infrastruktur seperti Lebuhraya Pan Borneo hendaklah disiapkan mengikut perancangan,” jelasnya.
Menurutnya, sokongan kerajaan Persekutuan juga diperlukan supaya Pembangunan Digital Ekonomi Sarawak dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam merapatkan jurang digital di antara Sarawak dengan kawasan yang lebih maju di Malaysia.
Dalam pada itu, Abdul Taib memberitahu, beliau gembira dengan pendekatan mesra Kerajaan Negeri dan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerjasama ini penting untuk meneruskan pembangunan Sarawak tanpa mengira parti politik yang memerintah jelas menunjukkan kematangan kepimpinan politik di sini.
“Saya berharap Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan tanggungjawabnya kepada pembangunan di Sarawak selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










