PUTRAJAYA – Proses mengambil keterangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung siasatan dua kes masih berlangsung selepas lebih dua jam beliau tampil di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.
Ahmad Zahid yang tiba kira-kira pukul 9.50 pagi masih belum keluar dari pekarangan bangunan tersebut setakat pukul 12.40 tengah hari.
Seorang pegawai SPRM yang ditemui Bernama di sini, mengesahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes itu.
Pagi tadi, Ahmad Zahid yang tiba di pekarangan bangunan SPRM diserbu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang menunggu seawal 8 pagi bagi membuat liputan kes melibatkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid telah dihubungi oleh SPRM meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya mengikut Akta SPRM 2009. – Bernama











