PUTRAJAYA 19 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta semua pihak supaya sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Sabtu ini.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, berdasarkan Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) antara perkara yang tidak boleh dilakukan semasa hari penamaan calon ialah penggunaan alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik.
“Orang ramai juga dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon.
“Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, tindakan undang-undang boleh dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Othman berkata, tempoh masa untuk mengemukakan kertas penamaan calon pada Sabtu ini akan bermula dari pukul 9.00 hingga 10.00 pagi.
Mengulas lanjut, katanya, bakal calon boleh membayar wang deposit sebanyak RM5,000 secara bank draf atau tunai sebelum hari penamaan calon dan mereka perlu membawa resit berkenaan pada Sabtu ini sebagai bukti bayaran.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan bakal calon yang bertanding mewakili parti politik tertentu supaya membawa surat kebenaran daripada parti yang membenarkan mereka menggunakan simbol parti. – UTUSAN ONLINE










