BANGKOK 19 Julai – Kira-kira 8.4 juta pil yaba, 121 kilogram crystal methaphetamine dan 25 kilogram ketamine dirampas daripada dua penyeludup dadah warga tempatan dalam operasi awal pagi oleh polis di sini. Dalam operasi jam 4 pagi waktu tempatan, dua suspek lelaki ditahan oleh polis yang membuat penyamaran berhampiran sebuah stesen minyak di wilayah Samut Prakan. “Polis menemukan 3.7 juta pil yaba dan 59 kilogram crystal methaphetamine dalam kenderaan yang mereka naiki. Selepas ditahan, mereka membawa polis ke sebuah rumah di daerah Wangthonglang di Bangkok yang menyimpan baki dadah yang lain,“ kata Timbalan Ketua Polis Kebangsaan Thailand, Jeneral Chalermkiat Sriworakhan hari ini. Operasi hari ini adalah sebahagian daripada siasatan polis yang berterusan berikutan penahanan seorang remaja berusia 17 tahun bulan lepas bersama dadah bernilai 100 juta Baht (RM12 juta) yang disimpan dalam apartmennya di Bangkok. Menurut Chalermkiat, polis sedang menjejaki dalang sebenar berikutan rampasan dadah terbesar itu. – BERNAMA










