PUTRAJAYA 9 Julai – Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri serta ahli Parlimen kerajaan akan tertakluk di bawah Etika Perkhidmatan Awam yang menghalang sebarang bentuk amalan rasuah.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu susulan daripada taksiran baharu anggota pentadbiran yang akan diperluaskan.
“Mereka perlu isytihar aset dan pendapatan, jika menerima hadiah, mereka perlu melaporkan kepada pihak bertanggungjawab. Pemberian ini tidak boleh diberikan kepada menteri dan timbalan menteri.
“Kalau terima hadiah bunga dan makanan dikecualikan. Dibenarkan juga pemberian hadiah berbentuk plak contohnya yang kadang-kala daripada piuter, tetapi ia juga perlu diisytiharkan. Tetapi kereta Mercedes perlu ditolak dan kereta Proton pun tidak boleh,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











