KLANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertaruhkan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48, sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, 4 Ogos depan.
Pengumuman tersebut dibuat Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera PRK DUN Sungai Kandis yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari di sini malam tadi.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma, 2 Julai lalu.
Mohd. Zawawi yang juga Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (Bippa) PKR merupakan graduan Sarjana Muda (Bahasa Arab) Universiti Al Azhar, Mesir pada tahun 1995 dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Universiti Malaya pada 2005.
Beliau dilahirkan di Jalan Kebun di sini mempunyai seorang isteri, Hazlina Abdul Razak, 48, dan lima orang anak yang kesemuanya lelaki.










