Pinjaman ke West Brom bantu Sturridge bangkit - Utusan Malaysia

Pinjaman ke West Brom bantu Sturridge bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MICHIGAN 30 Julai – Daniel Sturridge berkata, sewaktu dia menjadi pemain pinjaman di West Brom telah membuatnya sedar apa yang perlu dilakukannya untuk bangkit daripada belenggu kecederaan yang jelas mengganggu kelancaran kariernya di Liverpool.

Sturridge menghabiskan separuh kedua musim lepas dengan menyertai Baggies, tetapi dia hanya membuat penampilan liga sebanyak dua kali dalam kesebelasan utama bersama pasukan yang telahpun tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Meskipun tidak bermain dalam banyak perlawanan, masalah kecederaan tetap mengganggu penyerang itu sehingga menyebabkan dia diketepikan selama dua bulan dan gagal membantu West Brom untuk mengelak daripada disingkirkan.

Sturridge berkata, pada ketika itu, keluar daripada Anfield merupakan satu keputusan yang menjadi pilihannya.

“Ia memberi kebaikan kepada saya. Saya tidak menyesal apa-apa. Pengalaman tersebut menjadikan saya lebih matang, sebagai seorang lelaki dan juga pemain bola sepak.

“Anda masih boleh memperbaiki permainan anda dari luar. Apabila anda berada di dalam, kadang kala anda tidak dapat melihat bagaimana untuk memperbaiki tahap permainan anda. Sewaktu anda berada di luar, anda dapat melihat daripada sudut yang berbeza.

“Saya sentiasa dahagakan kemenangan, dan sikap itu tidak pernah berubah. Pada setiap hari saya memastikan diri saya sentiasa berfikir positif. Itu sahaja yang mampu saya lakukan,” kata pemain antarabangsa England itu.

Sturridge beraksi selama setengah jam sewaktu Liverpool membenam musuh ketat Manchester United 4-1 dalam aksi persahabatan di Amerika Syarikat, semalam, dan kejayaan pemain itu menjaringkan gol sebaik di bawa masuk telah membuat bos Jurgen Klopp kagum dengan tahap kecergasan dan ketajaman permainannya.

Namun, masalah kecederaan yang kerap menimpa Sturridge membuat penyerang itu lebih berhati-hati untuk merancang masa depannya lebih jauh, meskipun prestasi yang dipamerkan sepanjang pra-musim cukup positif.

Pemain berusia 28 tahun itu masih perlu bersaing dengan tiga individu penting yang memahat nama di jentera serangan Liverpool iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino, tetapi Sturridge tetap optimis bagi mengharungi kempen kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN