PH mahu menang besar di Sungai Kandis - Utusan Malaysia

PH mahu menang besar di Sungai Kandis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG 26 Julai – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis penting dalam memastikan hala tuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir negara.

Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, sekiranya PH tidak menang besar dalam PRK ini, ia adalah signal (isyarat) bahawa UMNO dan Pas akan bergabung menentang kerajaan.

Menurutnya, PRK Sungai Kandis disifatkan unik kerana menjadi ‘ujian’ awal kerjasama politik antara UMNO dan Pas.

“Kedua-dua parti itu dilihat seperti mahu ‘test market’ kerana tidak membabitkan pertembungan tiga penjuru. Sekiranya, PH tidak menang besar ia isyarat bahawa kedua-dua parti itu akan bergabung.

“Ini bukan sekadar PRK, tetapi pesta demokrasi besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. Ia bakal menjadi ukuran bagi melihat kerajaan sedia ada meneruskan agenda pembangunan di Selangor,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir program Kenduri Rakyat Nasi Ambeng di Masjid Ar-Rahimin di Kampung Telok Menegon di sini malam ini.

Yang turut hadir Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan calon PKR DUN Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, perbincangan berhubung had umur mengundi kepada 18 tahun bersama Peguam Negara, Tommy Thomas telah selesai sepenuhnya.

“Kita telah selesai berbincang dan kini dalam proses memuktamadkan pindaan sedia ada sebelum dibentangkan di Kabinet dan membawa usul tersebut di Parlimen.

“Setakat ini, maklumbalas diterima amat baik terutama daripada Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad yang menyokong sepenuhnya inisiatif ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN