KUALA LUMPUR 29 Julai – Pemergian Siti Nur Ismawida Ismail, 30, ke Lombok Timur sejak minggu lalu bersama rakan-rakan tanpa suaminya bagi menyertai misi pendakian ke Gunung Berapi Rinjani merupakan petanda dia akan pergi selamanya.
Suaminya, Mohd. Hafiz Mohd Kassim, 30, berkata, dia berasa terkilan kerana sepatutnya bersama arwah isteri ke sana namun hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana terdapat urusan perlu diselesaikan di sini.
“Sebelum ini, kami memang selalu menyertai aktiviti mendaki namun hanya melibatkan pendakian dalam negara.
“Dan ini kali pertama, arwah melakukan aktiviti terbabit luar dari Malaysia, tidak sangka dia pergi tinggalkan saya selamanya,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hafiz, pihaknya telah menerima panggilan telefon daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kejadian itu pukul 6 petang ini serta berharap proses membawa pulang jenazah isterinya itu dipermudahkan
“Cuma proses untuk urusan tersebut tidak pasti dan mungkin memakan masa. Mungkin dua hari lagi,” katanya yang belum mempunyai anak dan kali terakhir berhubung dengan arwah isterinya dua hari lalu.
Dalam pada itu bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar mendakwa keluarganya menerima beberapa panggilan telefon dipercayai ejen yang ingin menguruskan proses membawa pulang jenazah ke ibu negara.
“Ada antara mereka meminta hingga lebih 80 juta Rupiah (RM22,500) bagi urusan membawa pulang jenazah.
“Pihak keluarga tidak tahu sama ada ejen berkenaan sah atau sebaliknya. Saya harap pihak kerajaan dapat membantu menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Katanya, kali terakhir mangsa menghubungi keluarga malam tadi menerusi aplikasi WhatsApp.
Siti Nur Ismawida, seorang pensyarah kolej swasta di Ampang antara 18 peserta kumpulan pendaki rakyat Malaysia yang tiba di Lombok Selasa lepas untuk mendaki Gunung Rinjani dan dijadual pulang ke tanah air, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.47 pagi ini, gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok.
Susulan kejadian itu, Siti Nur Ismawida bersama 17 lagi warga Malaysia yang berada di kawasan tersebut bagi menyertai misi pendakian ke gunung berapi Rinjani di Lombok Timur terlibat dalam kejadian itu.
Siti Nur Ismawida maut manakala enam lagi cedera akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan tempat mereka tinggal.
Selain itu, pihak berkuasa Indonesia mengesahkan 162 orang cedera parah dan luka ringan manakala 14 orang disahkan meninggal dunia sehingga tengah hari ini.










