KUALA LUMPUR 5 Julai – Pesawat Sikorsky S-61A-4 (Nuri) dan Hercules C-130 (Charlie) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berkeupayaan untuk digunakan dalam jangka masa kira-kira 15 tahun lagi.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pesawat yang berusia dalam lingkungan 20 hingga lebih 40 tahun itu walau bagaimanapun perlu dilakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk memastikan keupayaan dan keselamatannya berada pada tahap terbaik.
“Jika kita dapat pesawat baharu lagi bagus, tetapi apabila berlaku kekangan kewangan terhadap pembelian aset baharu, alternatif untuk menggunakan aset sedia ada perlu kita sediakan.
“Kita sudah buat kajian teknikal terhadap kemampuan pesawat-pesawat ini untuk berkhidmat dan kita telah kenal pasti apa yang perlu dilakukan supaya aset-aset ini dapat digunakan sebaiknya dalam menjaga ruang udara negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-60 di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










