KUALA LUMPUR – Seorang pesakit wanita yang menaiki ambulans maut selepas kenderaan berkenaan terlibat dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen di sini malam semalam.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 malam itu, mangsa, Fatimah Mohd. Arzbon, 67, disahkan maut dilokasi selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan seluruh anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, ambulans berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Bulatan Pahang menghala ke arah Parlimen.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas ambulans berkenaan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki warga Yemen berusia 30 tahun.
“Difahamkan, ketika kejadian kereta Myvi yang dipandu lelaki warga asing berkenaan telah mengubah haluan ke lorong tengah menyebabkan ambulans yang berada ditengah lorong melanggar bahagian belakang Myvi sebelum terbabas melanggar tembok pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Zulkefly, terdapat tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut membabitkan pemandu kereta dan pemandu ambulans bersama masing-masing seorang pembantu perubatan serta doktor.
“Mangsa yang terlibat ialah pemandu ambulans ,Jasin Taharin, 61, cedera pada kepala; kakitangan ambulans, Noorhadaina Mansurah Abdullah, 22, retak leher; jururawat, Ahmad Naim Hassim, 30 cedera pada tangan ; anak mangsa, Norain Taadin, 26, hanya mengalami cedera ringan dan suami mangsa, Norain Taadin cedera pada kepala serta tangan kiri.
“Sementara pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa yang terlibat telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE










