KUALA LUMPUR – Empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini adalah hasil siasatan yang dilakukan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dijelaskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini hari ini.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang ditetapkan bagi membantu siasatan melibatkan bekas Presiden UMNO itu berhubung skandal 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
“PDRM akan melakukan siasatan secara dalaman dan perlu patuhi segala peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.
“Kes Najib bergantung pada siasatan dan kita tidak boleh serbu secara sebarangan,” katanya. – Bernama











