KUALA LUMPUR 4 Julai – Pertikaian yang dibangkitkan Majlis Peguam terhadap tindakan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengumumkan penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah berasas.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pasukan yang terdiri daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd Shukri Abdull, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador tidak memiliki sebarang kuasa dan kapasiti (locus standi) untuk menangkap sesiapa.
“Pasukan Petugas Khas tiada sebarang kuasa dan kapasiti (locus standi) untuk menangkap sesiapa kerana hanya polis atau SPRM yang mempunyai kuasa untuk menahan mereka yang disyaki bersalah.
“Malah kenyataan atau pengesahan mengenai penahanan Najib semalam juga seharusnya dikeluarkan oleh Peguam Negara, Tommy Thomas atau Ketua Pesuruhjaya SPRM mahupun Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun. Bukannya daripada Pasukan Petugas Khas terlibat,” katanya kepada Utusan Online melalui aplikasi WhatsApp, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azalina yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang memohon kerjasama semua pihak khususnya orang ramai supaya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Pendakwaan telah dibuat hari ini, sehubungan itu saya berharap agar semua pihak menghormati proses undang-undang,” katanya.
Semalam, Majlis Peguam mempertikaikan tindakan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengumumkan penahanan Najib.
Presidennya, George Varughese, mendakwa pasukan terbabit tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menahan Ahli Parlimen Pekan itu berhubung isu SRC International Sdn Bhd. – UTUSAN ONLINE










