Personaliti layak terajui GLC - Utusan Malaysia

Personaliti layak terajui GLC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengenal pasti personaliti yang mempu­nyai integriti tertinggi, pengetahuan dan kredibiliti untuk menerajui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, pihaknya mahu GLC meme­nuhi standard dan amalan tadbir urus tertinggi dan ia merupakan satu cabaran yang perlu dilaksanakan.

“Saya bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Majlis Penasihat Negara untuk tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia ke-18 Bank Dunia di sini semalam.

Azmin menegaskan, kerajaan menginginkan barisan eksekutif yang boleh memberikan khidmat secara berkesan dan bukannya dilantik ekoran ganjaran politik mahupun wakil politik.

“Kerajaan Pakatan Harapan dan Perdana Menteri telah berulang kami menyatakan bahawa kami mahukan eksekutif-eksekutif yang mampu memberi perkhidmatan terbaik bersandarkan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki mereka dan bukannya disebabkan elaun yang tinggi, mewah atau luar biasa.

“Amalan ini harus dihentikan,” ujarnya.

Azmin mengulas mengenai perubahan kepimpinan yang merangkumi pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat sama ada secara peletakan jawatan atau tidak disambung kontrak susulan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu.

Ini termasuk peletakan jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Bh. (PNB), Tan Sri Abdul Wahid berkuat kuasa Sabtu lalu dan digantikan dengan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Baru-baru ini, turut dilaporkan bahawa Dr. Mahathir menegaskan bahawa ketua-ketua eksekutif mahupun pengarah GLC di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan terdiri daripada golongan profesional sebenar dan tidak dibayar gaji yang tinggi.

Sebaliknya, katanya, mereka akan menerima ganjaran berupa bonus sekiranya mencapai prestasi yang cemerlang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN