SHAH ALAM – Calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis atau ejen mereka boleh memohon permit ceramah melalui dalam talian bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, sebelum ini dalam pilihan raya terdahulu, calon yang ingin membuat ceramah perlu datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk mengisi borang.
“Kaedah permohonan dalam talian yang pertama kali diwujudkan itu adalah bagi memudahkan calon memohon permit.
“Bagaimanapun, syarat utama permohonan dalam talian adalah dilakukan oleh calon atau ejen calon itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.
Dalam pada itu, tambah Baharudin, bagi PRK DUN Sungai Kandis ini melibatkan dua kawasan daerah polis iaitu IPD Shah Alam dan IPD Klang Selatan.
Oleh demikian katanya, calon yang ingin membuat ceramah perlu memohon permit mengikut IPD terbabit.
Bagi permit di Shah Alam boleh dihantar menerusi emel [email protected], manakala bagi kawasan Klang Selatan boleh dirujuk kepada IPD Klang Selatan. – K! ONLINE










