BAGAN SERAI – Seorang lelaki berhadapan detik-detik cemas apabila pergelangan tangan kanannya hampir putus selepas ditetak dalam satu pergaduhan di sebuah kedai kopi di Jalan Siakap berhampiran sebuah pasar raya di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.40 malam itu, mangsa yang berusia 30an itu mengalami kecederaan parah di pergelangan tangan kanannya selepas dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam oleh seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya sedang berbual di hadapan premis permainan snooker berhampiran sebuah siber kafer sebelum didatangi dua lelaki menaiki kereta jenis Perodua Kancil.
“Dua lelaki itu bersenjatakan parang menghampiri mangsa dan mereka bertindak mengejar mangsa sehingga memasuki sebuah kedai kopi berhampiran.
“Berlaku pergaduhan antara mereka dan mangsa telah ditetak di bahagian atas tapak tangan kanan manakala jari kelengking tangan kirinya pula putus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Tambah Omar Bakhtiar, suspek kemudiannya menaiki kenderaan sama untuk melarikan diri.
“Kedua-dua wajah suspek dikenali K. Vijayan, 31 dan Yeong Ah Peng, 32, berasal dari Bandar Tasik Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.
“Gerakan memburu kedua-dua suspek kini giat dijalankan dan kita berharap orang awam membantu pihak polis mengesan suspek,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseskaan mengenai punca dan motif sebenar kejadian masih diteruskan.
“Mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – K! ONLINE










