Peraturan baharu pemandu teksi, e-hailing berkuat kuasa mulai esok - Utusan Malaysia

Peraturan baharu pemandu teksi, e-hailing berkuat kuasa mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Berkuatkuasa mulai esok, Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan peraturan baharu bagi perkhidmatan e-hailing bagi memberikan  keadilan kepada semua pemandu-pemandu teksi di negara ini.

Antara syarat yang ditetapkan ialah semua pemandu e-hailing perlu mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), membuat pemeriksaan kesihatan, saringan rekod jenayah, pemeriksaan kenderaan melalui Puspakom. 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing diberikan tempoh moratorium selama setahun bagi melaksanakan semua peraturan yang ditetapkan. 

“Setelah mendengar pelbagai keluhan pemandu teksi dan pemandu e-hailing, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada Perniagaan Penghantaran dan pemandu e-hailing. 

“Bagi memberikan kesaksamaan kepada industri teksi, perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia oleh kerajaan bermula 12 Julai 2018 melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (PAD) (Pindaa) 2017 dan Akta Lembaga Pengangkutan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017. 

“Dengan akta ini, syarikat-syarikat e-hailing mesti berdaftar dengan SPAD sebagai perniagaan penghantaran dan perlu membayar yuran yang ditetapkan, “ katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Pasca Kabinet di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini. 

Anthony menjelaskan, mengenai rungutan pemandu e-hailing berhubung ketidakadilan syarikat e-hailing yang menekan pemandu dengan mengenakan komisen yang tinggi sehingga 25 peratus, kerajaan telah membuat keputusan untuk menetapkan komisen maksima sebanyak 10 peratus bagi perkhidmatan e-hailing untuk pemandu teksi konvensional. 

“Kadar komisen mmaksima sebanyak 20 peratus bagi perkhidmatan yang dijalankan oleh kenderaan persendirian dan kadar surcaj dihadkan kepada dua kali ganda dari harga tambang sahaja,” jelas beliau. 

Selain itu, peraturan baharu itu turut menetapkan bahawa semua kenderaan yang digunakan termasuk teksi konvensional kini perlu menjalani pemeriksaan kenderaan berusia melebihi tiga tahun di Puspakom setahun sekali berbanding enam bulan sebelum ini. 

Pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan sekali setahun berbanding dua kali dalam tempoh setahun dan latihan pemandu menggunakan modul latihan yang mengambil masa enam jam sahaja dengan yuran sebanyak RM200. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN