KUALA LUMPUR 4 Julai – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneruskan pelaksanaan apit tayar (clamping) kenderaan bagi mengekang orang ramai meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd. Aziz berkata, tindakan mengunci kenderaan dilaksanakan sebagai penguatkuasaan undang-undang dan peringatan kepada orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan mereka di tempat larangan.
Beliau berkata, lokasi itu termasuk petak parkir kenderaan yang disewa, petak parking orang kurang upaya, petak kenderaan jenis berbeza dan menghalang pili bomba.
“Tindakan ini diteruskan selepas mendapat sokongan daripada orang ramai yang tidak mahu orang ramai bebas meletakkan kenderaan di kawasan tidak sepatutnya.
“Masalah parkir di kebanyakan kawasan terutama di ibu kota sering menyebabkan kesesakan lalu lintas. Pelaksanaan undang-undang ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut,” katanya selepas merasmikan Program blueprint penarafan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, semalam.
Pada Mei lalu, DBKL menghentikan tindakan apit tayar untuk penelitian semula selepas mendapat bantahan daripada beberapa orang ahli Parlimen. -UTUSAN ONLINE.










