Pengetua SMK Ketereh ditukar serta-merta - Utusan Malaysia

Pengetua SMK Ketereh ditukar serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 19 Julai – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, di sini, yang kecoh akibat kejadian histeria semalam, ditukarkan ke Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pendidikan negeri berkuat kuasa hari ini.

Pengetua wanita berkenaan ditukarkan ke bahagian pentadbiran sebagai Pegawai Kanan Perkhidmatan Pendidikan dalam satu arahan melalui surat bertarikh 18 Julai 2018 yang ditandatangani Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman.

Menurut Muhammad Zahari, arahan penukaran tempat bertugas itu dikeluarkan bagi memberi ruang kepada pengetua itu untuk berehat dan bertenang selepas berdepan situasi tidak diingini.

“Pada masa sama, ini bertujuan meredakan keadaan dan memberi ruang kepada Jabatan Pendidikan untuk menjalankan siasatan ke atas segala dakwaan yang dibuat terhadap beliau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, arahan pertukaran itu berkuat kuasa hari ini, namun sehingga tengah hari ini, Norriha masih belum melaporkan diri di sektor berkenaan.

“Pihak jabatan akan terus siasat perkara ini dan buat masa ini tugas dan tanggungjawab pengetua sekolah berkenaan berada di bawah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sabri Awang,” katanya.

Semalam, guru-guru SMK Ketereh menaikkan sepanduk di dalam kawasan sekolah berkenaan menggesa Jabatan Pendidikan negeri menukarkan pengetua sekolah itu yang didakwa mencetus suasana persekolahan tidak tenteram dan tertekan.

Tindakan mereka dibuat selepas 46 pelajar terkena histeria, meraung bersahut-sahutan dan menjerit kesakitan tanpa sebab sebelum bertepuk tangan sehingga tidak sedarkan diri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN