DUBLIN, Ireland – Sebuah gedung peruncit fesyen mampu milik, Primark menerima beratus-ratus komen positif dan pujian berhubung kempen terbaharunya yang memaparkan seorang model berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Kempen menerusi laman Instagram itu memaparkan model Kelly Knox, 34, yang dilahirkan dengan hanya satu lengan memakai baju sejuk berwarna kuning dan skirt cetakan corak harimau bintang.
Paparan menerusi laman media sosial gedung berkenaan menerima hampir 97,000 ‘Likes’ dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Primark mempunyai seramai 5.9 juta pengikut.
Knox yang dilahirkan tanpa lengan kiri menjadi popular selepas menjuarai program Badan Penyiaran British (BBC) iaitu Britain’s Missing Top Model pada tahun 2008.
“Terima kasih kerana menunjukkan kepelbagaian model. Jenama-jenama lain harus mencontohi anda,” kata seorang pengguna Instagram.
Seorang OKU meninggalkan komen: “Terima kasih Primark. Saya juga model OKU dengan kerusi roda yang cuba membawa kepelbagaian kerana ia satu misi penting.
“Ini adalah cara sebenar yang harus dilakukan semua jenama pakaian lain. Setiap insan berbeza bentuk (anggota badan) dan saiz. Teruskan usaha terbaik ini,” kata netizen lain. – Agensi










