KUALA LUMPUR 29 Julai – Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyifatkan tindakan pihak berkuasa memanggil Presiden dan Timbalan Presiden pertubuhan itu berhubung penganjuran himpunan aman bantah Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) pada 21 Julai lalu tidak sepatutnya berlaku.
Peguam Jabatan dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, tindakan tersebut seolah-olah satu perbuatan yang mahu menakut-nakutkan mahasiswa.
Menurutnya, tindakan itu tidak ubah seperti apa dilakukan ketika mereka di bawah kepemimpinan kerajaan terdahulu.
“Masyarakat mengharapkan Malaysia baharu ini berubah, namun dilihat lebih teruk lagi berbanding kerajaan terdahulu.
“Pemimpin sekarang sepatutnya memanggil persatuan pelajar untuk duduk berbincang berhubung isu UEC ini. Bukan hanya bercakap tentang rule of law sahaja, tetapi perlu hayati perkara itu,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Terdahulu, Presiden Gamis, Mohd. Faizzuddin Zai dan Timbalannya, Mohamad Shafiq Sharif hadir ke IPD Dang Wangi kira-kira pukul 11.15 pagi bagi memberi keterangan berkaitan penganjuran tersebut yang didakwa tidak mematuhi syarat mengadakan perhimpunan.
Kedua-dua mereka kemudiannya keluar satu jam setengah kemudian selepas keterangan mereka diambil.
Dalam pada itu, lebih 30 mahasiswa terdiri daripada ahli Gamis turut berada di hadapan IPD tersebut bagi memberi sokongan berhubung bantahan tersebut.
Tambah Wan Rohimi, pihaknya yang mewakili Gamis berharap pihak berkuasa tidak memanggil mana-mana pimpinan pelajar berhubung isu tersebut.
Sementara itu, Mohd. Faizzuddin berkata, tindakan dirinya dipanggil bersama-sama timbalannya adalah satu sekatan daripada pihak berkuasa di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, beliau kecewa dengan kerajaan hari ini seolah-olah tidak meraikan suara anak muda.
“Kita percaya PH mahu membawa Malaysia baharu, tapi hakikatnya itu hanya tipu daya dan retorik semata-mata.
“Kami hari ini seolah-olah melakukan jenayah, namun itu tidak menggentarkan kami. Malah kami akan terus lagi kuat berkempen untuk membantah UEC,” katanya.










