LIMBANG – Seorang penganggur ditahan polis hari ini selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
Lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Nauran di sini pada pukul 9.35 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Bukhori Saffiai berkata, polis menerusi Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (BJSN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang menjalankam serbuan di rumah itu selepas menerima maklumat awam dan risikan polis berhubung kecurigaan terhadap suspek.
“Pemeriksaan di dalam satu kusyen yang terdapat di bilik tidur suspek menjumpai tiga bekas plastik warna hitam tertera tulisan “HALLS” dan setiap satu bekas plastik tersebut di dalamnya berisi 12 paket plastik lutsinar kristal jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Turut dijumpai di dalam kusyen tersebut adalah dua plastik lutsinar besar yang setiap satu bungkusan plastik besar tersebut berisi 32 paket plastik kecil masing-masing mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Bukhori memberitahu, kesemua dadah itu dirampas dan mempunyai berat hampir 40 gram.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan berdasarkan harga pasaran dianggarkan bernilai RM3,000.
“Suspek juga mengaku dadah itu diperoleh daripada pembekal tempatan dan untuk dijual kepada pelanggan di sekitar daerah ini.
“Suspek akan direman esok untuk melengkapkan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya lagi. – K! ONLINE










