ALOR SETAR 19 Julai – Dewan Pemuda Pas negeri mendesak pihak polis melakukan siasatan terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P.Ramasamy kerana didakwa terlibat dalam kumpulan pelampau Tamil, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Ketuanya, Salim Mahmood berkata, gambar pemimpin tersebut bersama pengasas dan Setiausaha Agung parti politik Marumalarchi Dravida Munnetra Kazhagam
(MDMK), Vaiko atau V. Gopalasamy yang dimuatnaik di laman sosial menimbulkan tanda tanya dan pelbagai persepsi.
Menurutnya, ia berikutan gambar menunjukkan Ramasamy berada dalam satu mesyuarat bersama jawatankuasa LTTE yang disenaraikan sebagai antara
pertubuhan pengganas oleh Council of the European Union pada 21 Mac lalu.
“Selain itu, gambar Ramasamy bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees yang memberikan penghormatan kepada gambar
Kalashnikov (rifle AK-47) di sebuah majlis tiga tahun lalu turut ditular semula oleh pengguna Facebook dengan mengguna nama Zamri Vinoth.
“Isu ini dikhuatiri akan menggugat kestabilan politik dan keamanan di Malaysia kerana beliau (Ramasamy) yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)
DAP boleh mempengaruhi masyarakat berkaitan hal-hal lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sehubungan itu, tegas beliau, siasatan menyeluruh perlu dilakukan ke atas beliau dan individu lain dengan segera kerana dibimbangi boleh menggugat kestabilan politik serta keamanan negara.
“Kita desak supaya satu siasatan berasaskan prinsip dan pemeliharaan undang-undang ke atas kedua-dua individu tersebut seterusnya diambil tindakan yang sah
berteras undang-undang,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










