Pemergian Tien Chee kehilangan besar buat PH dan rakyat di DUN Balakong  - Utusan Malaysia

Pemergian Tien Chee kehilangan besar buat PH dan rakyat di DUN Balakong 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga, malam tadi adalah satu kehilangan besar buat Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata,  Tien Chee, 40, atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng bergiat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Menurutnya, Eddie Ng merupakan ADUN yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk penduduk Balakong serta komited mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)  sepanjang tempoh beliau berkhidmat bermula tahun 2013.

“Dari awal saya mengenali mendiang saudara Eddie tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

“Pemergian Saudara Eddie sudah pasti kehilangan yang amat besar buat Pakatan Harapan dan kekosongan yang ditinggalkan beliau sudah pasti turut dirasai oleh penduduk di kawasan Balakong dan rakyat di negeri ini,”katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi

Amiruddin yang melahirkan rasa dukacita atas pemergian Tien Chin menyatakan kehilangan ini merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu. 

“Kedua-dua ADUN ini telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan negeri. 

“Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga mendiang Saudara Eddie dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini,”katanya.

Tien Chee dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga kira-kira 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian itu, kereta jenis Nissan Xtrail dipandu mangsa dipercayai telah merempuh belakang sebuah lori.

Menurutnya, kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di lokasi kejadian dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN