NEW YORK 26 Julai – Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour menyifatkan pelan Amerika Syarikat (AS) berhubung rundingan damai antara Palestin dan Israel ‘sudah terkubur’.
Portal Arab News memetik Riyad sebagai berkata, selepas Presiden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember tahun lalu, negara itu telah kehilangan kelayakan menjadi satu-satunya pihak yang memantau proses perdamaian.
Menantu lelaki Trump, Jared Kushner dan wakil White House di Asia Barat, Jason Greenblatt akan segera mengemukakan rancangan rundingan damai Palestin-Israel, dengan atau tanpa input daripada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Mahmoud berkata, AS mendesak penglibatan Palestin dalam pelan berkenaan, namun pihaknya enggan berbuat demikian.
Mahmoud dan ramai pegawai Palestin telah menegaskan mereka tidak akan melibatkan diri dalam sesuatu yang ‘sudah berkubur’.
“Pada pandangan saya, mereka di Washington masih menganggap kami seperti boleh dipermainkan. Kami bukanlah ‘pemain’ untuk memenuhi kemahuan mereka,” jelas Riyad.
Tambahnya, penduduk Palestin akan cuba bertegas melakukan proses kolektif yang melibatkan banyak negara untuk menamatkan konflik kedua-dua pihak.
Menerusi proses berkenaan, AS mampu memainkan peranan tetapi mereka tidak boleh memantau proses rundingan damai.
Dalam perkembangan berlainan, sekurang-kurangnya tiga penduduk Palestin maut dalam bedilan udara Israel di timur Gaza.
Ahmed al-Bsous, 28, Ubadah Farawneh, 29, dan Mohamed al-Aareer, 27, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika tiba di Hospital al-Shifa di Gaza.










