KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Macau berhubung pencarian ahli perniagaan kontroversi, Jho Low.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM sudah menghantar surat kepada pihak berkuasa di sana bagi mengesan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
“Selain Macau, PDRM juga telah meminta kerjasama untuk memburunya di beberapa negara antaranya di China, Hong Kong, Indonesia dan Myanmar.
“Kita juga telah meminta kerjasama dari Taiwan melalui saluran diplomatik bagi mengesan Jho Low,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-83 Perwakilan Tahunan Koperasi PDRM di Hotel Kuala Lumpur International di sini hari ini.
Kosmo! pada 6 Julai lalu melaporkan PDRM mendapat maklumat bahaw Jho Low telah melarikan diri ke Macau.
Mohamad Fuzi berkata, maklumat berkenaan diperoleh menerusi sepasukan pegawai polis yang dihantar menjejaki Jho Low di Hong Kong.
Jelasnya, apabila pegawainya sampai di sana didapati Jho Low sudah pergi ke Macau.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali juga memberitahu, pasport antarabangsa milik Jho Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada malam Hari Raya Aidilfitri, 15 Jun lalu.
Pembatalan pasport Jho Low, 36, dibuat atas permohonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – K! ONLINE










