KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak Polis Negara Republik Indonesia (POLRI) untuk menyelaraskan proses membawa pulang Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamad Md. Yunos yang diburu polis lebih sebulan lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap Jamal.
“Pihak kami sudah dimaklumkan berhubung tangkapan tersebut oleh pihak berkuasa Indonesia.
“Susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, PDRM mengesahkan bahawa tangkapan terhadap Jamal sudah dilakukan oleh pihak berkuasa di sana.
“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan pihak POLRI telah menahan Jamal pada pukul 6.15 petang (waktu tempatan) semalam.
Sebuah portal berita Indonesia, Detik.com, melaporkan Jamal ditangkap di Tebet, Jakarta Selatan.
Menurut laporan Kosmo! pada 26 Mei lalu, Jamal, 48, yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia menghilangkan diri selepas masuk di Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, 25 Mei lepas. – K! ONLINE









