KUANTAN – Sebanyak 758 tangkapan daripada 313 serbuan sindiket perjudian haram telah dilakukan di seluruh negeri ini bermula Januari hingga Jun tahun ini.
Jumlah tangkapan melibatkan penjaga premis dan kaki judi itu menunjukkan peningkatan sebanyak 56.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab. Rahman berkata, berdasarkan keseluruhan tangkapan sebanyak hampir 50 peratus telah dipertuduhkan di mahkamah manakala selebihnya masih di dalam siasatan.
“Tahun ini kita telah mempergiat operasi bagi melumpuhkan sindiket perjudian haram di negeri ini dengan peningkatan serbuan sebanyak 18.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Selain tangkapan kita juga merampas 627 peralatan perjudian dan wang tunai sebanyak RM124,378,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Serah Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua tangkapan melibatkan individu berumur antara 30 hingga 40 tahun dan Kuantan mencatatkan rekod tertinggi dengan 87 serbuan sehingga Jun lalu. – K! ONLINE










