SHAH ALAM 3 Julai – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengesahkan telah menghantar notis kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memberi laluan Pilihan Raya Kecil (PRK).
![]() |
|
MAT SHUHAIMI SHAFIEI
|
Penyerahan notis itu dimaklumkan Speaker DUN, Ng Suee Lim kepada pejabat suruhanjaya berkenaan di Putrajaya pada petang ini selepas pihaknya menerima sijil kematian daripada ahli keluarga Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya, semalam.
“Saya telah menerima sijil kematian daripada keluarga Allahyarham (Mat Shuhaimi) dan notis kekosongan kerusi DUN Sungai Kandis telah diserahkan kepada SPR di Putrajaya kira-kira pukul 1 petang ini,” katanya di sini hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis ketika ini kosong setelah Mat Shuhaimi yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar semasa pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu meninggal dunia akibat menghidap kanser limfoma tahap empat.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Mat Shuhaimi, 49, memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi menewaskan tiga pencabarnya iaitu Datuk Kamaruzzaman Johari daripada Barisan Nasional (BN), Mohd. Yusof Abdullah (Pas) dan Hanafiah Husin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Beliau memperoleh 23,998 undi manakala Kamaruzzaman (11,518 undi) manakala Mohd. Yusof dan Hanafiah masing-masing memperoleh 7,573 dan 76 undi. – UTUSAN ONLINE











