KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman tidak hadir pada pembukaan rasmi mesyuarat pertama penggal pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang ke-15 di Bangunan DUN di sini hari ini.
Musa yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah tidak kelihatan sepanjang istiadat berlangsung memandangkan beliau kini dikatakan sedang menjalani rawatan kesihatan di London.
Sementara itu, seramai 20 ADUN pembangkang mengangkat sumpah semula di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Syed Abbas Syed Ali kira-kira pukul 8 pagi sebelum sidang DUN berlangsung.
Mereka terdiri daripada 10 ADUN UMNO, enam (Parti Bersatu Sabah) dan dua daripada STAR serta masing-masing seorang daripada Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut dan Parti Bersatu Rakyat Sabah. – K! ONLINE











