SHAH ALAM – Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni, 48, merupakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang layak dalam memastikan kesinambungan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Mohd. Zawawi merupakan seorang yang bertanggungjawab selain dapat diterima sebagai seorang pemimpin oleh penduduk DUN itu.
“Alhamdulillah kita memilih calon yang tepat dan saya harap rakyat juga boleh buat pilihan tepat dengan memilih calon parti ini,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman calon PRK DUN Sungai Kandis di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Zawawi menjelaskan persediaan kempen untuk PRK telah 100 peratus siap dengan pihaknya akan bertemu para pengundi DUN Sungai Kandis.
Katanya, beliau berharap dapat meneruskan misi dalam membela rakyat seperti diberikan mandat sebelum ini.
“Kita yakin kepercayaan pengundi terhadap parti dan saya akan membolehkan kemenangan dalam PRK ini,” jelasnya.
PRK DUN Sungai Kandis menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Mohd. Zawawi, Datuk Lokman Noor Adam, 45, (BN) dan K. Murthy,60 sebagai calon bebas. – K! ONLINE










