JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan dan Bahagian UMNO yang telah memilihnya sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2018-2021.
Mohamed Khaled berkata, ia merupakan satu amanah dan kepercayaan yang akan dipikul dengan penuh etika, kesungguhan dan rasa tanggungjawab.
Sehubungan itu, katanya, beliau memohon kerjasama semua pihak di dalam dan luar parti untuk memberikan sepenuh sokongan, kerjasama serta mendoakan agar usaha memulihkan, mengembalikan kekuatan UMNO serta kredibilitinya berjalan dengan lancar serta berjaya.
“Ini merupakan satu proses yang berat dan mencabar. Namun, saya yakin, berbekalkan semangat dan dukungan semua pihak, UMNO akan dapat kita pulihkan dengan selayaknya.
“Saya akan memberikan fokus untuk memastikan segala komitmen dan iltizam yang dizahirkan sepanjang kempen pemilihan ini akan dilaksanakan dengan baik dan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon dan rakan-rakan seperjuangan yang lain yang telah berjaya dipilih untuk mengisi semua kerusi lain di semua peringkat, sama ada di peringkat Pusat mahupun di peringkat negeri.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan ruang dan peluang ini untuk benar-benar berbakti kepada UMNO dan perjuangannya, kepada orang Melayu dan kepada negara tercinta Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya, beliau juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa dan para penggerak Mesyuarat Bahagian di seluruh negara yang terlibat dalam menjayakan pemilihan pada kali ini.
“Kerja keras, komitmen serta sumbangan kalian pada parti amat bernilai dan sangat saya sanjung dan hargai,” katanya. K! ONLINE











