KUALA LUMPUR 1 Julai – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani masih bersaing rapat untuk merebut kerusi terakhir jawatan Naib Presiden UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini kerana terdapat 34 Bahagian belum menghantar keputusan pengundian masing-masing yang boleh mengubah kedudukan kedua-dua calon tersebut.
Pada masa sama katanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid telah disahkan menang jawatan Naib Presiden memandangkan keputusan dari 34 Bahagian itu tidak akan menggugat kedudukan mereka.
“Itu sahaja dapat diumumkan, dan siang nanti kami akan mengumumkan senarai penuh mereka yang menang termasuk 25 Ahli Majlis Tertinggi selepas mendapat keputusan rasmi dari 190 Bahagian,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini tengah malam tadi.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan sah menang jawatan Presiden UMNO dan Timbalan Presiden UMNO untuk penggal 2018-2021.
Ahmad Zahid menerima 78 undi manakala Mohamad mengumpul 110 undi mengatasi lawan masing-masing hasil keputusan rasmi setakat pukul 12 malam tadi, kata Tengku Adnan.
Pada masa sama katanya, pengumuman keputusan penuh yang akan diumumkan siang nanti hanya melibatkan 190 Bahagian apabila proses pengundian di Bahagian Bakri ditangguhkan kerana masalah teknikal. – UTUSAN ONLINE









