PETALING JAYA 5 Julai – Penyanyi popular, Misha Omar, 36, menzahirkan rasa ralat dan terkilan setelah mendapat tahu kebenaran di sebalik masalah kemurungan dihadapi bintang remaja, Haqiem Rusli, 20.
Menurut juara dan pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-18 (AJL 18) pada 2003 itu, segala nasihat dan pesanan yang dititipkan kepada Haqiem sebelum ini ibarat mencurah air ke daun keladi atau dalam erti kata lain, satu pembaziran.
“Jujurnya, lidah saya kelu untuk berkata-kata. Rasa membazir saja menasihatkan individu sepertinya,” komen Misha secara ringkas.
Misha berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gimik pelantun lagu Jatuh Bangun itu yang mengakui dirinya menghidapi penyakit depresi dek tekanan berada dalam industri hiburan tanah air.
Terdahulu, Haqiem pada penghujung Ramadan lalu membuat satu kenyataan bahawa dirinya berhadapan dugaan paling mencabar sehingga menyebabkannya mengalami kemurungan dan memberi bayangan untuk bersara sebagai penyanyi.
Namun semalam, dalam satu kenyataan terkininya menerusi sebuah program anjuran stesen radio swasta, Haqiem mengejutkan banyak pihak apabila mendedahkan semua itu adalah gimik semata-mata.
Turut meluahkan ketidakpuasan hati adalah rakan artis naungan syarikat rakaman yang sama, FMC Music iaitu Ernie Zakri yang mempersoalkan tahap profesionalisme Haqiem. – UTUSAN ONLINE











