Menu petai kukuhkan ukhuwah - Utusan Malaysia

Menu petai kukuhkan ukhuwah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali musim perayaan Aidilfitri, Haliza Maysuri, 41, pengasas tudung Bawal Exclusive pasti akan memborong petai atau nama saintifiknya, Parkia speciosa, di samping ulam seperti pucuk pegaga, ulam raja dan pucuk gajus.

Meskipun mempunyai dua orang pembantu rumah dan sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan, beliau sendiri akan turun padang, ke Pasar Tani Serdang, Selangor seawal pagi yang mungkin untuk memilih petai yang terbaik. Biasanya Haliza akan membeli sehingga 40 papan buah petai dan sepapan petai mempunyai anggaran 12 hingga 15 ulas.

Mungkin ada yang beranggapan wanita ini menggunakannya untuk memasak hidangan berasaskan petai untuk dijual sebagai perniagaan sampingan.

Sebenarnya petai itu adalah untuk ‘menu istimewa’ yang akan dihidangkannya setiap kali mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri iaitu sambal tumis udang petai.

Apa yang menarik, tetamu yang menggemari menu tradisional ‘petai’ ini bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu, tetapi kaum-kaum lain serta rakan ekspatriat yang tinggal di sekitar kawasan perumahannya di Bukit Puchong, Selangor.

“Selama 10 tahun mengadakan rumah terbuka, menu sambal udang petai wajib ada kerana jiran saya berbangsa Cina sangat menyukainya selain jiran dalam kalangan warga Bosnia dan mat salleh yang teringin menikmati makanan tradisional Melayu,” kata Haliza.

Biasanya pengasas tudung bawal bertatahkan kristal Swarovski ini akan mengadakan rumah terbuka sebanyak dua kali iaitu satu di kampung suaminya di Pendang, Kedah pada hari raya kedua, manakala pada penghujung Syawal adalah di rumahnya di Bukit Puchong.

Ia bertujuan bagi dapat meraikan jiran tetangga, staf, rakan taulan dan juga kenalan niaga perusahaan wanita ini yang diusahakan bersama suaminya, Mohd. Rosli Awang, 47, yang kebanyakannya menetap di ibu kota.

Menurut wanita kelahiran Selangor ini, beliau gemar mengadakan rumah terbuka pada waktu malam dan biasanya hari minggu menjadi pilihan bagi memudahkan kenalannya untuk turut serta.

“Selain petai segar, saya juga suka menggunakan udang harimau kerana isinya yang manis dan warnanya cantik apabila sudah dimasak. Menu sambal udang petai ini saya cipta sendiri dan tidak sangka ia begitu diminati jiran sebelah rumah berbangsa Cina dan juga rakan bangsa lain.

“Kata mereka, sambalnya lain daripada yang selalu dirasai dan kebiasaannya mereka akan makan bertambah atau ulang banyak kali sambal udang petai yang dimakan bersama nasi putih.

“Sebab itulah setiap kali hendak mengadakan rumah terbuka, saya akan pastikan adanya bekalan petai dan udang harimau untuk dijamu pada tetamu kerana itu permintaan mereka selain rendang kerang turut mendapat perhatian,” katanya yang selalunya membeli antara tiga hingga empat kilo udang untuk majlis rumah terbuka.

Berbeza dengan individu lain yang lebih gemar menyediakan nasi tomato, nasi briyani, kambing golek mahupun hidangan Barat untuk dijamukan kepada tetamu, wanita ini bagaimanapun lebih suka menyajikan ‘menu tradisional’ semasa mengadakan rumah terbuka.

Antara makanan lain yang turut dihidangkan kepada para tetamu selain sambal udang petai dan rendang kerang termasuklah daging salai lemak cili api, rendang ayam kampung, daging bakar cicah air asam utara, sambal belacan dan juga berbagai-bagai jenis ulaman.

Cita rasa asli

Istimewanya, semua menu kampung yang disajikannya itu adalah cita rasa asli mengikut resipi turun-temurun keluarga dan sedikit pun tidak ada suntikan antarabangsa biarpun kebanyakan tetamu yang datang ke rumahnya bukanlah dalam kalangan orang Melayu.

“Saya memang sukakan menu yang berlainan dari yang lain untuk menjamu tetamu yang datang. Sekurang-kurangnya, tidaklah hanya tertumpu kepada ketupat, lemang, nasi impit mahupun sayur lodeh kerana kebanyakan rumah terbuka menyediakan makanan sebegitu.

“Hidangan tradisional orang Melayu yang merupakan makanan harian orang kampung menjadi pilihan kerana ia dapat memperkenal budaya, cita rasa dan kelazatan masakan orang Melayu kepada jiran berbilang bangsa serta rakan ekspatriat.

“Yang paling seronok, saya pun tak sangka jiran mat salleh dan warga Bosnia turut suka mencuba dan makan masakan kampung ini. Mereka juga menggemari beberapa menu tradisional yang akan dimakan setiap kali saya mengadakan rumah terbuka,” katanya.

Menariknya, segala menu yang dihidangkan kepada tetamu adalah hasil air tangan Haliza sendiri, manakala dua orang pembantu rumahnya hanya ditugaskan untuk menyediakan bahan masakan sahaja.

Ini kerana, beliau mahu memastikan cita rasa asli masakan tradisi dikekalkan selain ingin menyajikan yang terbaik buat tetamu yang datang.

“Saya memang seorang yang suka memasak. Walau sibuk mana sekalipun, saya tetap akan pastikan masak untuk keluarga dan begitu juga saya lakukan apabila mengadakan rumah terbuka.

“Perasannya lain apabila kita jamu tetamu dengan hidangan yang dimasak sendiri. Kita akan rasa lebih puas dan gembira apabila melihat tetamu pelbagai bangsa begitu menyukai masakan dihidangkan dan makan berulang kali.

“Bagi saya, sentuhan air tangan kita pada sesuatu masakan itu akan mengeratkan lagi ikatan kasih sayang dan hubungan yang terbina selama ini,” katanya.

Menurut Haliza, pada masa inilah beliau dan suaminya cuba merapatkan kembali hubungan antara jiran tetangga serta menyuburkan ikatan silaturahim memandangkan beliau dan suaminya sentiasa sibuk dengan urusan perniagaan.

Oleh demikian, setiap tahun Haliza akan memastikan untuk memperuntuk dua hari dalam bulan Syawal mengadakan rumah terbuka supaya hubungan muhibah yang terjalin selama ini dapat dikekalkan.

“Ketika ini suasana sangat meriah dan kecoh. Tidak rasa mereka itu bangsa asing tetapi sudah macam satu keluarga. Paling meriah, apabila berkongsi resipi dengan mereka,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN