KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin paling muda dilantik sebagai menteri dalam sejarah Malaysia.
Syed Saddiq yang merupakan Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada usia 25 tahun.
Beliau bersama 12 menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini semalam.
Ahli Parlimen Muar itu memadamkan rekod Datuk Seri Najib Razak yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Pos pada 1978, ketika beliau berusia 25 tahun sebelum memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan ketika berumur 33 tahun.
Syed Saddiq yang dilahirkan pada tahun 1992 ketika mengulas mengenai pelantikannya berkata, beliau menghargai pengiktirafan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana ia menunjukkan kerajaan PH mendengar pandangan dan suara orang muda.










