MENGHARGAI kemerdekaan bermakna mensyukuri nikmat kebebasan dari belenggu penjajahan dengan membolehkan anak bangsa sendiri mengurus dan membangunkan tanah airnya mengikut acuan, citarasa serta menepati keperluan sebenar warganya. Ungkapan ini mungkin klise tetapi hakikatnya nilai sebuah kemerdekaan terlalu mahal untuk ‘diperlekeh’ atau ‘dikesampingkan’.
Malaysia sudah lebih 60 tahun merdeka. Pengisian kemerdekaan berjalan lancar, tersusun dan teratur. Keberkesanannya terbukti. Dari menikmati sistem pelajaran yang mampu melahirkan ramai rakyatnya yang berpendidikan tinggi, berkemahiran dan bertaraf profesional sehinggalah kepada penyediaan kemudahan infrastruktur pembangunan sosial lain yang membolehkan rakyat di segenap pelosok negeri dan daerah menyebut: “Inilah tanah air ku Malaysia yang damai, permai, makmur…”
Jajaran lebuh raya merentangi wilayah, jalan-jalan negeri menjalar ke serata kampung dan desa, bekalan elektrik dan air bersih memudahkan kehidupan, sementara taraf kesihatan turut terjaga, petani dibantu, nelayan dan pengusaha kecil dihulur bantuan, penjawat awam terjamin masa depan sehingga boleh diajukan soalan: “Golongan atau rakyat di mana lagi yang tidak menikmati hasil kemerdekaan..?”
Namun ‘merdeka’ itu bukan boleh diterjemahkan pada kebebasan secara longgar (loose) tanpa batasan. ‘Merdeka’ di bumi yang sudah merdeka perlu terikat pada perundangan dan peraturan yang sudah termeterai atau termaktub di dalam perjanjian. Dalam konteks di Malaysia, semua pihak perlu akur dan menghormati apa yang sudah tercatat di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, jangan ada pihak seakan baru mencapai ‘kemerdekaan’, mahu menuntut dan menerjah sempadan dan ruang lingkungan di luar semangat Perlembagaan. Tindakan begini boleh menimbulkan rasa resah, kurang senang atau menggores hati pihak-pihak tertentu. Malah, dikhuatiri pula boleh mencetus sengketa dan menggugat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Perjalanan menelusuri pasca merdeka turut menghadirkan banyak cabaran selain kejayaan. Ada manis dan ada pahit maungnya. Segalanya untuk dijadikan iktibar dan pengajaran. Kenapa harus dinafikan jika struktur, sistem dan pelaksanaan tadbir urus negara sejak berdekad lalu sememangnya benar-benar berjaya dan berkesan? Dan kesal apakah mendatangi perasaan apabila perbuatan ‘meneka dalam kesamaran’ sebelum ini menampilkan kenyataan sekadar ‘indah khabar dari rupa”?
Malaysia pernah melalui ‘detik hitam’ yang menguji semangat toleransi dan ‘meragut harmoni’ yang pernah dinikmati 12 tahun selepas merdeka. Detik itu mendorong menginsafkan semua bahawa aspek perpaduan antara kaum perlu dijadikan agenda penting dalam pengurusan negara. Ada mesej dan isyarat jelas dari peristiwa berkenaan
Maka lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi menyusun semula taraf ekonomi kaum agar lebih adil dan mengurangkan jurang perbezaan yang ketara. Atas semangat saling menerima dan memahami, gagasan DEB mengiringi perjalanan hidup rakyat Malaysia dengan selesa dan berjaya. Dalam masa yang sama, tiada pula mana-mana pihak terhalang hak bagi menggapai kejayaan, mengumpul kekayaan.
Juga telah dilahirkan Rukun Negara. Wadah untuk menghimpun nilai-nilai peradaban dan pembinaan tamadun bangsa secara luhur dan murni. Lima prinsip di dalamnya sudah lengkap untuk membentuk sistem nilai dalam kehidupan harian rakyat Malaysia atas nama “sekata, serasa dan seindahnya”.
Sambutan Hari Kebangsaan atau memperingati Kemerdekaan menjelang Ogos yang tinggal tidak berapa lama lagi harus digema dan disemarakkan. Meraikannya membawa pengertian tentang wujudnya rasa cinta dan sayangkan negara. Di sini tempat dilahir dan ditumpahkan taat setia, dan di sini juga akan kembali ke hadrat Ilahi.
Kalut ‘berpolitiking’ jangan sampai menganggap, menyambut atau meraikan ulang tahun kemerdekaan tanah air sebagai membazir atau membuang masa. Serlahkan semangat patriotisme kepada negara. Malang, jika ada dalam kalangan rakyat Malaysia tidak mampu menyanyikan lagu kebangsaan Negara Ku atau melafazkan Rukun Negara di dalam Bahasa Kebangsaan, bahasa rasmi negara.
Islam menuntut umatnya sayangkan tanah air. Ungkapan yang sering didengar dalam konteks ini ialah: “Cintakan tanah air itu adalah separuh dari iman”. Ertinya, Islam sentiasa menganjurkan umatnya menjaga dan memelihara kesejahteraan dan keselamatan tanah air. Lagi pun, mana mungkin umat Islam dapat melakukan amal ibadat dengan selesa dan khusyuk jika persekitaran negara sentiasa dalam huru hara dan suasana tidak menentu.
Rakyat, khususnya umat Islam di Malaysia tidak perlu teruji dengan kepayahan seperti yang sedang dialami di negara-negara bergolak untuk mensyukuri nikmat kedaulatan dan keamanan yang sedia wujud di negara ini sejak sekian lama.
Berbanggalah menjadi rakyat Malaysia. Kemerdekaannya memberi makna besar bagi kedaulatan, kestabilan dan kemakmuran yang sedia dialami bersama!
DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.










