KEJAYAAN kontinjen negara muncul sebagai juara keseluruhan kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) memberikan petanda positif mengenai barisan pelapis kebangsaan untuk diserapkan ke dalam skuad utama pada masa akan datang.
Wakil tanah air kembali menyerlah di kedudukan tertinggi setelah membawa pulang keseluruhan 37 pingat emas, 34 perak dan 32 gangsa, sekali gus meninggalkan Indonesia di tempat kedua, diikuti juara edisi lalu, Thailand (ketiga).
Antara atlet yang menyerlah ialah gimnas cilik negara, Izzah Amzan yang membolot lima emas menerusi acara belantan individu, bola individu, riben individu, acara berpasukan serta keseluruhan individu.
Lebih menarik, atlet berusia 17 tahun itu sudah menyertai skuad kebangsaan pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, April lalu dan akan membuat penampilan pertama pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia bulan depan.
Pengurus pasukan negara, Zainal Abas berharap atlet-atlet akan meneruskan sumbangan kepada negara pada peringkat lebih tinggi memandangkan ramai antara mereka akan tamat pengajian.
“Saya gembira dengan pencapaian atlet-atlet muda kita pada edisi kali ini. Saya berharap mereka dapat diserapkan ke dalam skuad kebangsaan dan mewakili negara pada kejohanan yang lebih berprestij.
“Ada antara mereka akan tamat sekolah hujung tahun ini dan akan memilih haluan sendiri nanti.
“Selain itu, Rayna Hoh yang turut menyumbang pingat adalah salah seorang atlet yang akan mewakili negara pada Sukan Olimpik Remaja di Argentina, Oktober depan,” katanya.










