Malaysia ambil kesempatan ‘perang perdagangan’ antara kuasa besar - PM - Utusan Malaysia

Malaysia ambil kesempatan ‘perang perdagangan’ antara kuasa besar – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Julai – Malaysia boleh mengambil kesempatan terhadap ‘perang’ perdagangan antara negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menjadi destinasi pelaburan pilihan antarabangsa.

Malaysia ambil kesempatan ‘perang perdagangan’ antara kuasa besar - PM
Dr. Mahathir Mohamad

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, apabila negara-negara kuasa besar ini cuba mengatasi antara satu sama lain, mereka memerlukan rakan dagangan dan tempat pelaburan yang baharu.

Jelasnya, kesempatan itu boleh diambil oleh Malaysia yang selama ini amat mementingkan kehadiran pelaburan langsung asing (FDI).

“Hari ini sedang berlakunya perang perdagangan antara negara kuasa-kuasa besar. Hal ini dapat menyediakan peluang kepada kita kerana mereka cuba mengalahkan antara satu sama lain.

“Mereka pastinya memerlukan rakan dagang dan lokasi pelaburan baharu untuk mengeluarkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sebelum merasmikan Masyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-72 di sini hari ini.

Tambah Dr. Mahathir, Malaysia amat memerlukan FDI bagi mendapatkan pendedahan terhadap teknologi serta kemahiran pengurusan yang terkini.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan akan mengutamakan persekitaran mesra perniagaan dan pada masa sama mahu mengatasi penyalahgunaan kuasa serta amalan rasuah dalam urus tadbir negara.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN