Lima muka baharu di Pahang - Utusan Malaysia

Lima muka baharu di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 1 Julai – Pengerusi Jawatan­kuasa Pemba­ngu­nan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Abdul Aziz Kiram antara lima muka baharu yang dipilih mengetuai bahagian-bahagian UMNO di negeri ini dalam pemilihan parti itu semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam itu dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Raub selepas menewaskan Datuk Mohd. Ghazali Kamaruzaman dalam pertandingan satu lawan satu apabila mendapat 335 undi berbanding pencabarnya yang memperoleh 35 undi.

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Raub sebelum ini disandang oleh ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin yang mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan kali ini.

Muka baharu lain yang menang jawatan ketua bahagian bagi penggal 2018-2021 ialah Datuk Seri Ab. Hamid Nazahar yang dipi­lih mengetuai UMNO Bahagian Kuantan manakala ADUN Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut selepas penyandangnya, Datuk Ahmad Nazlan Idris tidak mempertahankan jawatan tersebut.

ADUN Kuala Sentul, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin yang dipilih mengetuai UMNO Bahagian Maran pula melakar sejarah muncul wanita pertama mengetuai UMNO bahagian di negeri ini selepas menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib.

Datuk Ahmad Ta­juddin Sulaiman pula membuat kemunculan semula apabila memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar dengan menewaskan ADUN Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah yang menyandang tugas berkenaan setelah kematian Allahyarham Datuk Seri Abdul Manan Ismail, Februari lalu.

Dalam pada itu, Pe­ngerusi Ba­dan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bentong yang disandangnya selama 31 tahun.

Pemimpin UMNO lain yang turut berjaya mempertahankan jawatan selepas menewaskan pencabar masing-masing ialah Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid di Indera Mahkota dan Datuk Seri Hasan Ariffin di Rompin.

Sementara itu, enam penyandang ketua bahagian UMNO di negeri ini menang tanpa bertanding iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Cameron Highlands), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera), Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin (Temerloh).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN