KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos (gambar) kembali menarik nafas lega selepas skuad kendaliannya berjaya menewaskan Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.
Kemenangan ke atas skuad Gergasi Merah itu mengembalikan peluang untuk Hobin Jang Hobin terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
Negeri Sembilan sebelum ini tewas berturut-turut dalam lima perlawanan sehingga menyebabkan mereka terperosok di tangga tercorot liga.
Bagaimanapun, kali ini Lemos menaruh harapan pasukan bimbingannya dapat melakar kemenangan dalam dua baki perlawanan demi memastikan Negeri Sembilan tidak jatuh semula ke Liga Premier.
“Saya merasakan Negeri Sembilan memiliki peluang untuk menang dalam dua lagi perlawanan Liga Super, sekali gus mampu menambah mata supaya kami terus kekal pada liga ini.
“Buat masa ini saya tidak mahu memikirkan keputusan perlawanan pasukan lain tetapi fokus utama adalah bekerja keras memperkemaskan pasukan ke tahap terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan kelmarin.
Gol pertama Negeri Sembilan dijaringkan oleh Nicolas Velez (m-12), manakala jaringan berikutnya oleh Flavio Beck Junior pada minit ke-17.
Velez sekali lagi menambah derita Selangor apabila berjaya merobek gawang pasukan lawan pada minit ke-73.
Gol tunggal Selangor hadir menerusi rembatan kencang kaki kiri Rufino Segovia Del Burgo dari jarak 20 meter dari pintu gol tuan rumah pada minit ke-12.
Tambah Lemos, beliau berharap kejayaan menumpaskan Selangor mampu menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk mempamerkan prestasi lebih baik dalam baki dua perlawanan.
Dalam baki dua perlawanan nanti, skuad Rusa dijadualkan bertemu Kuala Lumpur di tempat lawan, Ahad ini dan perlawanan terakhir bakal menerima kunjungan Melaka United di Paroi pada 28 Julai.










